Hati saya luluh apabila membaca tentang nasib adik Zara Qairina. Seorang anak kecil yang sepatutnya sedang menikmati kasih sayang, tawa, dan belaian keluarga… tetapi akhirnya pergi dalam keadaan yang amat menyayat hati.
Saya benar-benar sedih. Bukan sahaja kerana kehilangan seorang anak dan pelajar yang tidak berdosa tetapi juga kerana kegagalan kita sebagai sebuah masyarakat melindungi insan sepertinya. Lebih pedih apabila menyedari ada pihak yang sepatutnya menjaga, melindungi, dan bertindak pantas, tetapi kelihatan leka, cuai dan seakan akan cuba mendiamkan diri dari sesuatu. Ya! Sangat sesuatu.
Kes seperti ini bukan tidak pernah berlaku malah sudah berkali-kali tetapi agakan saya mungkin kali ini kesan dari maklumat dari media yang terlalu atau sangat laju dan pantas menyebabkan sebaran berita dan cerita yang kita terima juga sangat cepat. Kita sebagai masyarakat yang cepat atau pihak berkuasa yang lambat?
Kes Zara Qairina sepatutnya menjadi titik tolak perubahan. Mungkin dengan kes ini, kerajaan dan pihak berkuasa dapat benar-benar membuka mata — supaya lebih telus, lebih berani, dan lebih adil dalam menangani isu sebegini, tanpa mengira pangkat, darjat, atau status sosial seseorang. Jangan sampai ada yang terlepas hanya kerana kedudukan. Nyawa seorang anak tidak boleh dipandang ringan.
Hari ini, cukup sebulan bermula dari kes ini terjadi dan sehingga kini masih tiada lagi tangkapan atau suspek yang direman... Moga ganjaran syurga buatmu ibu atas ujian ini.
Comments
Post a Comment