Wednesday, 30 September 2009

UNTUKMU SAHABAT...



Untukmu

Munsyid : Durani

http://liriknasyid.com





Sahabat

Dalam kabut ku tercari-cari cahaya

Akhirnya ku temui sinar ceria diraut wajahmu



Andainya alam ini mampu berkata-kata

Pastilah pujian buat dirimu

Di waktu itu akulah yg bertuah

Punya sahabat sepertimu



Sahabat

Kau bimbing la ku menuju cahaya ilahi

Sahabat

Aku lemah mangharungi ranjau dunia



Sahabat

Aku ingin seperti mu dalam ketenangan

Menghadapi hidup ini



Sahabat ku bersyukur kerna mengenali dirimu

Ku harap moga kitakan bersama

Harungi segala suka duka

Moga kejayaan milik kita

Agar hidup menuju mulia



Salam ukhwah buat semua. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Tinggal 11 hari sahaja lagi aku akan berangkat pulang ke Syria bagi meneruskan kembali penghijrahan diri menuntut ilmu di sana. Tak sangka, sekejap sahaja masa berlalu. Setelah 3 tahun berhijrah ke syria, 3 kali aku sempat melalui perubahan 4 musim, 3 kali juga menjalani ibadah puasa dan beraya di rantau orang bersama teman-teman serta sahabat handai yang lain... Macam-macam pengalaman yang sempat aku lalui. Semua perasaan ada, gembira, sedih, terharu, marah dan sebagainya. Cuma buat masa ini aku tiada kosentrasi untuk menulis semua cerita itu. Tambahan, semua pengalaman di dalam hidup ini terlalu berharga yang menjadikan aku lebih dewasa.

Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun yang sangat bermakna buat diri aku sendiri. Masih diberi peluang untuk bertemu keluarga tercinta... Terima kasih tidak terhingga buat umi, abah dan adik-adik yang disayangi. Ada rezeki lebih, jomlah datang jenguk akak kat sana yer...

Tidak lupa buat sahabat yang dikasihi, yang turut pulang cuti bersama. Sesungguhnya perkenalan ini sangat berharga buat diriku. Terima kasih atas sokongan dan dorongan yang diberi di saat aku sedang kejatuhan . Lagu di atas ku tujukan khas buatmu sahabat... Doaku, moga ikatan ini berkekalan hingga menuju ke jannah...

Sunday, 27 September 2009

DEDIKASI KHAS BUAT SAHABATKU YANG TERCINTA





"Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku, sahabat yang baik adalah yang sering denganku dan menjaga nama baikku ketika aku masih hidup serta selepas mati... Ku hulurkan tangan kepada sahabatku kerana aku merasa senang, semakin ramai sahabat aku semakin percaya diri, aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tidak luntur dalam suka dan duka. Jika aku dapat aku akan setia kepadanya...." (imam as-Syafie')


Jalinan persahabatan

Kita abadikan sepanjang zaman

Berpanjangan dan berkekalan

Manisnya iman

Hidup di dalam perjuangan

Kasih sayang kuhadiahkan buatmu teman

Untuk kau simpan ingat-ingatan

Jadinya bekalan perjalanan

Hidup di perantauan gunung didaki

Lembah sama dituruni

Kita diuji berulang kali

Nyata setia sebati

Syukur padamu Tuhan

Syukur kita dihadiahkan

Hadiah iman

Hadiah kasih sayang

Cinta seorang teman

Dan syukur buatmu teman

Syukur kita dipertemukan

Pengorbanan dan kesetiaan

Tak mungkin dilupakan

Saturday, 26 September 2009

KISAH HATI

Hati merupakan bahagian manusia yang termulia di antara yang lain. Kerana kemampuan untuk mengenali Allah hanya mampu dicapai oleh segumpal daging di dalam jasad manusia bernama hati (Qalb). Suatu kekuatan yang tidak mampu dicapai oleh aqal semata-mata. Dengan aqal sahaja, manusia tidak akan dapat menerima kewujudan sesuatu yang tidak dapat dikesan oleh deria-deria kemanusiaan yang bertindak balas dan ‘mengajar’nya secara terbatas, lemah sehingga tidak dapat menjangkau apa-apa yang jauh dari capaiannya yang kerdil.

Hanya hati itu jugalah yang mampu bertindak balas secara reaktif dan cergas terhadap ‘perkenalan’nya terhadap kuasa yang di luar batasan capaiannya itu. Ia bekerja ke arah itu, dan berusaha untuk lebih mendalami perasaan tersebut. Hati sahajalah yang mampu untuk mendekati dan mendalami hakikat besar ini, ia akan membongkar apa-apa lagi rahsia tersembunyi di sisiNya, supaya setiap degupannya akan menjadikan peribadi itu lebih dekat kepadaNya.

Sedangkan kaki, tangan, mulut, jari-jemari, lutut, siku, sendi-sendi dan semua anggota hanyalah hamba kepada hati, dan berkhidmat kepadanya, seperti seorang raja lagaknya yang memperkhadamkan hamba-hamba abdinya untuk manfaat dirinya.

Kerana itulah, mana-mana diri sedar yang benar-benar mengenali peranan dan kemampuan hatinya, ia akan benar-benar mengenal Tuhannya. Akan tetapi alangkah pedihnya kerana kebanyakan manusia sebenarnya jahil akan hatinya dan jiwanya, lalu bagaimana pula mengenal Tuhannya. Sedangkan satu hakikat juga bahawa sebenarnya Allahlah yang membatasi seseorang hamba dari hati dan jiwanya sendiri, dan dengan keupayaannya yang Maha Agung dan Maha Halus, Dia mampu menghalang sesiapa pun dari mengenali dan mendekatiNya. Sesungguhnya Allah tidak akan merubah sesiapa pun dari hamba-hambaNya selagi mana dia tidak merubah dirinya sendiri. Dan alangkah hebatnya Allah yang Maha Agung, segala-galanya berada di hujung ‘jari’nya, dia menentukan apa sahaja yang dikehendaki dengan tersangat mudah dan enteng.

Oleh kerana itulah, mempelajari hati dan sifat-sifatnya merupakan sebahagian daripada asas dalam agama, mendalaminya serta tabiat-tabiatnya merupakan asas permulaan perjalanan orang-orang berakhlaq terhadap diri dan Tuhannya. Hakikat hati itu, asas fitrahnya sangat terbuka untuk menerima petunjuk yang benar. Ia condong menghindari apa-apa syahwat dan hawa nafsu yang diletakkan ke dalamnya. Pertembungan di antara tentera-tentera malaikat dan tentera-tentera syaitan sentiasa berterusan tiada henti, semata-mata demi menguasai segumpal daging bernama hati. Terbukanya hati ini kepada mana-mana dari dua ini, yang menyebabkan sehingga ia bertapak, seterusnya bermastautin di dalamnya, dan lawannya tidak akan dapat melintasi ke dalam hati ini melainkan secara curi-curi. ((Dari kejahatan was-was yang ditiupkan al-Khannas)) [Surah An-Nas : 4] Kerana itulah, apabila ia sedang mengingati Allah, Khannas akan membuatkan ia was-was dan ragu-ragu. Apabila ia sedang lalai pula, terdetik lintasan-lintasan petunjuk.

Beruntunglah sesiapa yang mengikuti lintasan-lintasan petunjuk dari Allah itu, dan pasti akan merasai rugi jika ia membiarkan lintasan-lintasan itu pergi begitu sahaja. Sebaliknya teramatlah malang mereka yang tertipu dengan tiupan-tiupan Khannas ke dalam hati mereka, yang ditiupkan untuk menghias-hiasi kelalaian hati mereka. Tidak ada perisai terbaik untuk hati ini buat menepis serangan tentera-tentera syaitan termasuklah al-Khannas itu tadi melainkan dengan mengingati Allah. Kerana seluruh kesyaitanan dan konco-konconya tiada kekuatan ketika hadirnya zikrulLah menerangi hati.

Hati vs Jantung
Di dalam nas-nas al-Quran dan Hadis Nabawi, kita tidak akan dapat mengenali hati dan menafikan kewujudannya melalui dua aspek. Yang pertama, secara batin hati merupakan pusat di dalam diri kita yang menafsirkan perasaan-perasaan, tidak kira sama ada suka, duka, marah, benci, cinta, sayang, kecewa, bimbang dan lain-lain. Keduanya, dari sudut fizikal dan jisim, ia adalah seketul daging, atau segumpal darah, atau kedua-duanya sekali. Tetapi, di dalam bahasa Melayu, seseorang akan kebingungan dalam mentafsirkan dan mengenalpasti yang manakah sebenarnya hati ini.

Jika kita mentafsirkannya dari sudut perubatan, hati (English : liver, Arab : kibdah, Medikal : hepato), secara umumnya merupakan segumpal daging / organ dalam terbesar manusia yang memainkan peranan penting untuk proses metabolisme tubuh. Ia bertindak menyimpan glukosa, mendekompos sel darah merah, mensistesiskan plasma protein dan proses detoksinisi. Jadi, sebenarnya peranannya dalam bertindak balas terhadap perasaan-perasaan sukar untuk dikaitkan.

Jantung (English : heart, Arab : al-qalb, Medikal : cardio) pula adalah suatu organ muskular (otot) , berperanan mengepam darah ke saluran-saluran darah di seluruh tubuh badan secara berterusan, mengepam darah tanpa oksigen ke paru-paru, seterusnya mengepam darah yang telah teroksigenasi ke seluruh badan, dalam masa yang sama menyedut darah tanpa oksigen dari seluruh badan dan meyedut darah teroksigenasi dari paru-paru. Ia merupakan organ yang sangat penting, seringkali menentukan hidup matinya seseorang. (Otak akan mati jika tidak mendapat oksigen yang dibawa darah dari jantung lebih dari 5 minit, bermakna jantung yang mati akan menyebabkan otak kita mati, dan mematikan seluruh fungsi dalam tubuh). Sifatnya yang berdegup-degup ini lebih dekat untuk menterjemahkan pekataan al-Qalb yang bermakna sesuatu yang berbolak-balik.

Dalam sepotong hadith, Rasulullah (saw) bersabda,”… ketahuilah bahawa di dalam jasad ada segumpal daging, jika ia baik, baiklah seluruh jasad, jika ia buruk, buruklah jasad seluruhnya, ketahuilah bahawa daging itu adalah al-Qalb.”

Nadi yang dapat dirasai di bahagian-bahagian badan adalah rima yang menterjemahkan rima degupan jantung. Dan rima kedua-duanya sangat bertindak balas terhadap perubahan-perubahan perasaan seseorang. Tatkala ia senang dan bahagia, rimanya santai, saat ia marah rimanya pantas dan menyesakkan, dan masing-masing setiap perasaan diwakili oleh rima-rima tertentu dan khusus. Perubahan-perubahan rima degupan dan nadi ini juga lebih pantas untuk mewakili makna al-Qalb, yang mana melalui hadis ar-Rasul (saw) mengatakan bahawa hati hamba itu terletak di hujung jarinya, teramat mudah untuk Allah menukar-nukar keadaannya. Pada hari ini barangkali dia menyintai sesuatu, keesokannya pula dia sudah tersangat membencinya.
Satu pepatah ahli-ahli sufi dan ahli-ahli tauhid, “Al-’ibrah bil musamma, Laa bil-ismi.” (”‘Ibrah itu pada apa yang dinamakan, bukan pada namanya.”) Walau apa pun nama yang diletakkan pada sesuatu, kita seharusnya mengenal hakikatnya dan tidak tertipu oleh nama yang diletakkan manusia. Contohnya, jika manusia menamakan batu sebagai debu atau kayu, apa yang dikira tetaplah pada sesuatu yang bersifat keras, padu dan kuat.

Hati dan Iman
Iman itu bermula dari dalam dan lubuk hati. Iman dapat dirasai dari dasar hati yang telah dipenuhi dan disinari iman merupakan iman yang sebenar. Iman yang memenuhi segenap ruang hati inilah yang akan menatijahkan iqrar dengan lisan akan keindahan sesuatu yang telah bertapak di dalam hati, dan yang telah mencuri hatinya (bak kata-kata indah pujangga cinta).

Ketenangan hati terhadap apa yang telah mengisi penuh jiwanyalah yang akan menolak dan mendorong pemiliknya untuk menzahirkan isi hatinya dan menterjemahkan dengan amal-amal perbuatan dengan anggota empat keratnya.

Seorang kekasih, yang hatinya dipenuhi perasaan cinta terhadap kekasihnya, terdorong untuk menyatakan cintanya itu bahkan mengiqrarkan cinta itu. Perasaan cintanya di dalam hati itu beserta kesetiaan terhadap iqrar ini, kedua-duanya akan merangsang perlakuan-perlakuan mempertahankan dan membenarkan cintanya.

Begitu juga perasaan marah, seseorang yang marah, degupan jantungnya laju dan menjolak-jolak, perasaan bencinya menjulang, disusuli iqrar akan kemarahan dan kebenciannya, dan akhirnya akan menzahirkan perbuatan atau bahasa badan yang menterjemahkan perasaan marah dan bencinya itu.

Iman dalam Dakwah
Dakwah kepada Islam itu seharusnya bermula dengan mengisi seluruh hati dengan keindahan mencintai Allah, Rasulnya dan umat seluruhnya. Hati yang dipenuhi asyiknya cinta inilah yang memungkinkan mata menahan kantuk, badan menahan penat, perut menahan lapar, tekak menahan dahaga. Bahkan lebih jauh dari itu menanggung peritnya luka, lecur, calar, dan semua kesakitan.

Dakwah dan Hati
Oleh kerana itulah, dakwah kita bukanlah semata-mata dakwah kepada fakta untuk aqal, atau syarahan untuk telinga, atau paparan tayangan untuk hidangan mata. Bahkan ia merangkumi semuanya, ia adalah dakwah memenangi hati. Cahaya iman dari hati bercahaya, untuk hati-hati yang mengharapkan sinar-sinar hidayah.

Perjuangan Hati
Kerana itu jugalah, perjuangan ini sangatlah panjang. Sepanjang janji Allah kepada syaitan untuk membiarkannya berjuang hingga hari Qiamat. Hati-hati manusia yang tidak ingin ditawan tentera-tentera syaitan perlu bersama, bertahan dan berkembang. Semuanya supaya ia bertambah kuat menentang syaitan dan kekuatannya. Dan akhirnya, kekuatan penjulang kebaikan itu perlu dikumpul, disatukan dan disusun. Agar sama-sama bertahan di dalam kubu yang diredhai Allah, dan sama-sama meredhai Allah sebagai satu-satunya Tuhan, serta inginkan keredhaanNya semata-mata di dalam kehidupan singkat ini.